News

Home
News

MUIP Belanja RM8.5 juta Bagi Penyelenggaraan 67 Masjid, 90 Surau

KUANTAN: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) memperuntukkan RM8.5 juta bagi penyelenggaraan 67 masjid dan 90 surau di negeri ini, tahun lalu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman, berkata perbelanjaan itu digunakan untuk pelbagai kerja penyelenggaraan, antaranya bagi menggantikan permaidani, mengecat, menambah kemudahan asas dan membaiki kerosakan.

Katanya, kerja penyelenggaraan kemudahan di surau dan masjid perlu dilakukan setiap tahun bagi memberi lebih keselesaan serta kepuasan kepada jemaah, termasuk mereka yang hadir bagi mengikuti program keagamaan.

Katanya, hampir setiap tahun permohonan bantuan bagi penyelenggaraan surau dan masjid di negeri ini bertambah, dengan kelulusan dibuat selepas pegawai MUIP cawangan daerah melakukan lawatan.

“Kerja penyelenggaraan turut dilakukan membabitkan surau dan masjid di perkampungan Orang Asli kerana kita tidak pernah ketinggalan dalam memberi keselesaan kepada jemaah Orang Asli menunaikan ibadah dan belajar agama.

“Kita ingin melihat semua surau dan masjid di negeri ini sentiasa berada dalam keadaan selesa dan menarik. Justeru, pihak pengurusan perlu lebih aktif dan merebut peluang disediakan,” katanya.

Beliau berkata demikian Majlis Serahan Wakaf (van) sumbangan MUIP kepada University College of Yayasan Pahang (UCYP), di sini, semalam. Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Pembangunan Pelajar dan Diplomasi Komuniti) UCYP, Prof Madya Dr Azhar Jaafar @ Ramli.

Asmadi berkata, kenderaan yang diberikan kepada UCYP bagi kegunaan penuntut sepanjang mereka mengikuti pengajian, turut digunakan untuk mengambil dan menghantar mereka pulang ke kampung.

Sementara itu, Azhar berkata, pemberian kenderaan berkenaan dapat membantu melancarkan lagi perjalanan penuntut sepanjang mereka melanjutkan pengajian di UCYP.

“Sebelum ini, MUIP turut memberi bantuan kewangan kepada penuntut miskin, selain menyediakan keperluan asas berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), terutama apabila terdapat penuntut UCYP positif COVID-19,” katanya.